comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Warga Pakistan curi 10 biji tayar, tinggal lebih masa dipenjara 9 bulan

Warga Pakistan, Ali Irshad dipenjara sembilan bulan kerana mencuri tayar dan tinggal lebih masa.-Foto: NSTP

BATU PAHAT: Seorang lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri 10 biji tayar serta tinggal lebih masa di negara ini.

Ali Irshad, 28, dijatuhi hukuman terbabit selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan jurubahasa dalam bahasa Pashto di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bekerja di sebuah kedai tayar didakwa mencuri 10 biji tayar kenderaan pelbagai jenama di Jalan Sri Mewah 1, Taman Sri Mewah, Senggarang di sini, 7.45 pagi, 7 Oktober lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 511 kanun sama, penjara sehingga lima tahun dan juga denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas lawatan kerja sementara pada 17 November 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) dan dihukum mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Hukuman bagi kesalahan ini ialah tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan tayar kenderaan di kedainya hilang.

Hasil pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kelibat seorang lelaki iaitu tertuduh sedang mengambil tayar terbabit.

Satu laporan polis dibuat dengan tertuduh ditahan pada 7 Oktober. Hasil pemeriksaan polis juga mendapati pas lawatan kerjanya sudah tamat dua tahun lalu.

Siasatan awal polis mendapati tertuduh bertindak demikian sebagai tuntutan ganti rugi akibat tidak dibayar gaji oleh majikannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama dan tiga bulan pertuduhan kedua.

Pada masa sama, mahkamah memutuskan hukuman penjara berjalan serentak berkuatkuasa tarikh tertuduh ditahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini