MUAR: Lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menikam perut rakannya hingga parah, minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap Win Zaw Latt, 42, memandangkan tertuduh tidak faham pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa lelaki berusia 35 tahun dengan pisau yang mungkin boleh menyebabkan kematian di asrama pekerja, kawasan perindustrian Bakri, di sini, 8.15 malam, 8 Disember lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan bakal dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa ketika itu berada di asrama pekerja mahu melihat pisau dipegang tertuduh.
Namun, tertuduh dilaporkan dalam keadaan mabuk menepis dan menikam perut mangsa hingga berlumuran darah.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan lanjut dengan laporan dibuat di Balai Polis Bakri pada hari sama.
Polis turut merampas pisau sepanjang 34 sentimeter yang dipercayai digunakan tertuduh ketika kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Januari depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar serta tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.