MUAR: Seorang warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan di sebuah surau di Segamat, minggu lalu.
Namun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, Shaikh Faroouqe Nabisaheb, 59, selepas dia tidak memahami pertuduhan yang dikemukakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah surau, jam 6.20 petang, 4 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan kejadian berlaku pada waktu, tarikh dan lokasi sama.
Untuk kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, bagi setiap pertuduhan dikenakan.
Berdasarkan laporan dibuat, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan lelaki sedang bermain di taman permainan sebelum mereka ke surau terbabit untuk minum air kerana kehausan.
Ketika itu, tertuduh yang berada di surau terbabit mendekati mangsa dan menghulurkan wang RM1 seorang. Pada masa sama, tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu terhadap kedua-dua mangsa.
Bagaimanapun, perbuatan tertuduh turut disaksikan rakan lelaki mangsa sebelum mereka memberitahu ibu bapanya mengenai kejadian itu.
Susulan itu, ahli keluarga kedua-dua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat pada Januari dengan tertuduh ditahan pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan dan Diyana Najiha Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh singkat bagi memboleh kehadiran jurubahasa.
Mahkamah membenarkan permohonan dengan menetapkan 10 Februari depan untuk sebutan semula kes serta tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.