Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Warga emas simbah asid dipenjara 12 bulan, dakwa tidak tahan diganggu

 

Oleh : Ain Shafiqah Zaki

SELAYANG: Wanita warga emas mengaku bersalah atas kesalahan menyimbah cecair kimia (asid) pada seorang lelaki warga Pakistan berusia 37 tahun, di sebuah lif pangsapuri di sini, minggu lalu.

Artikel berkaitan: Mangsa serangan simbah asid trauma, berkurung di rumah saudara

Artikel berkaitan: Suspek simbah asid direman empat hari

Artikel berkaitan: Kes simbah asid: Wanita warga emas menangis teresak-esak di mahkamah 

Tertuduh, Saira Abdullah, 62, mendakwa bertindak demikian kerana tidak tahan diganggu pengusaha kedai roti nan berkenaan.

Wanita itu yang juga mualaf dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat dan Majistret Chai Guan Hock memerintahkan penganggur itu dipenjara bermula tarikh dia ditangkap iaitu 9 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan cecair kimia ke atas Inam Ullah, 37, di lif sebuah blok Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, pada 1.10 pagi, 4 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Saira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama iaitu mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita Jemilah Sabda, 60, yang juga isteri Inam, di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 12 September ini bagi sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan anak tiri perempuan kepada Inam menerima panggilan menyatakan bapa tirinya telah disimbah cecair kimia di lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati, Inam melecur tahap satu di bahu kanan dan belakang badan.

Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Menurutnya, Saira mengalami kemurungan teruk dan pernah mendapatkan rawatan hospital selepas suaminya didapati mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain.

“Ditambah pula provokasi oleh Inam, yang mahu berkawan dengan anak guam saya, menyebabkan dia tidak boleh berfikir dengan betul lalu mengambil tindakan sendiri (menyimbah asid),” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius.

“Kita perlu mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

“Menyentuh tekanan yang ditimbulkan oleh peguam, ia tidak dapat disahkan kerana tiada dokumentasi diberi kepada mahkamah,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan, pasangan suami isteri yang juga pengusaha kedai roti nan menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di sebuah pangsapuri di Gombak.

Kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan pangsapuri terbabit.

Insiden terbabit yang kemudian tular di media sosial, memaparkan suspek mendatangi mangsa sebelum bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari arah luar lif dan terus melarikan diri.

Ekoran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian bahu, pipi dan mata serta belakang bahu.

Mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warga Pakistan telah menerima rawatan di Hospital Selayang.

Loading...
Terkini