Tumpuan :
Mahkamah

Warga emas rogol kanak-kanak OKU direman

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KEMAMAN: Seorang pekerja ladang ditahan reman selama enam hari sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan berhubung kes merogol anak jirannya yang merupakan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun.

Permohonan reman terhadap suspek berusia 63 tahun itu dibuat di Mahkamah Majistret Daerah Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi berkata, suspek itu ditahan di sebuah rumah sekitar mukim Hulu Jabor, di sini kira-kira jam 5 petang semalam.

Menurutnya, perbuatan warga emas itu terbongkar selepas mangsa yang belajar di sebuah sekolah di Kuantan enggan pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada gurunya.

Mangsa yang merupakan OKU lembam itu mendakwa telah dirogol sebanyak empat kali sejak empat bulan lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol.

Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dikenakan hukuman sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini