AMPANG: Seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana menipu seorang lagi lelaki dengan mendakwa beg warga emas itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM2,700 kepadanya.
Majistret Amalina Basirah Md Top, memutuskan hukuman itu selepas warga emas terbabit, Raja Shahyan Raja Abdullah, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda dikenakan.
Mengikut kertas pertuduhan, Raja Shahyan yang juga bekas juruteknik sebuah syarikat penerbangan tempatan itu didakwa menipu Abdul Khadar Ahmad Ali, 59, dengan menyatakan begnya ditahan di KLIA hingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM2,700 kepadanya.
Kesalahan dilakukan di sebuah hotel di Ampang, Selangor antara jam 1.40 tengah hari pada 19 Julai 2023 hingga jam 3.39 petang, 24 Julai tahun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh, Izleen Ismail, merayu anak guamnya dikenakan denda minimum dengan mengambil kira faktor usia dan ada penyakit.
“Isteri tertuduh dan tiga daripada sembilan anaknya sudah meninggal dunia.Tertuduh ada penyakit prostat sejak lima bulan lalu dan perlu menukar tiub setiap dua minggu, yang mana janji temu rawatan seterusnya adalah esok,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani, memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh sambil menegaskan umur bukan faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.
“Sebagai seorang lebih berusia, saya percaya tertuduh lebih tahu dan faham bahawa memperdayakan orang adalah kesalahan dan boleh dihukum.“Justeru, saya percaya mahkamah seharusnya tidak mengambil kira faktor umur,” katanya.