Tumpuan :
Mahkamah

Warga emas dituduh sengaja pukul isteri hingga cedera

Pesara TNB, R. Subramanian, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memukul isterinya. – Foto: NSTP

IPOH: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul isterinya hingga cedera pada Ahad lalu.

Bagaimanapun tertuduh, R Subramanian, 65, tidak mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 54 tahun dengan menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah di Jalan Pertama 4, Taman Pertama, di sini, kira-kira jam 1.14 pagi kelmarin.

Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh berhadapan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah, manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Qurratu’aini menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh, namun Dayang Nor Emilia memohon jumlah paling minimum memandangkan tertuduh sudah berusia dan selain wang persaraan, tertuduh bekerja sebagai pekebun dengan pendapatan tidak tetap.

Azizah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicara, selain menetapkan 3 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Loading...
Terkini