![](https://media.buletintv3.my/2022/10/GEN-TUKUL-MAHKAMAH-HAKIM-COURT-1.jpg)
KOTA BHARU: Seorang warga emas didenda sebanyak RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki minyak diesel tanpa permit sah, pada Julai 2023.
Denda itu dikenakan terhadap Orang Kena Saman (OKS), Awang Mamat, 71, yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 220.759 liter minyak diesel tanpa kebenaran di hadapan Stesen Minyak Petron, Wakaf Bharu, dekat Tumpat, jam 10.05 pagi, pada 17 Julai 2023.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammadi Iman Masjuri manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zulfaqar Al Basysyar.
Mahkamah turut memerintahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota bernombor pendaftaran Thailand dan wang hasil jualan minyak diesel sebanyak RM473 dilucut hak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.