PETALING JAYA: Seorang buruh binaan warga Bangladesh didakwa membunuh wanita Indonesia yang mayatnya ditemui di sebuah bilik hotel bajet di Taman Mawar, Puchong, di sini dua minggu lalu.
Tertuduh, MD Shimul Babu, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Nurhayati, 39, di bilik hotel terbabit pada jam 10.12 malam, 31 Disember tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pertuduhan berasingan, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah di Pejabat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini, pada jam 4.30 petang, 3 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Pada 1 Januari lalu, media melaporkan mayat seorang wanita warga Indonesia ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah bilik hotel di Puchong di sini.
Polis kemudian menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 39 tahun di Bukit Puchong untuk membantu siasatan.
Penahanan itu membawa kepada tangkapan suspek utama iaitu seorang lelaki warga Bangladesh yang mengaku membunuh wanita berusia lingkungan 30 tahun itu gara-gara cemburu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.