Tumpuan :
Mahkamah

Warga asing laku amang seksual menangis, tidak mampu bayar ikat jamin RM30,000

Shaikh Faroouqe gagal membayar ikat jamin RM30,000 atas pertuduhan amang dua pelajar di Segamat, bulan lalu. FOTO: NSTP

MUAR: Seorang lelaki warga India menangis apabila gagal membayar ikat jamin RM30,000 selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar perempuan di sebuah surau, bulan lalu.

Shaikh Faroouqe Nabisaheb, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan dalam Bahasa Hindi di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar perempuan berusia 10 dan 13 tahun di sebuah surau di Segamat, 6.20 petang, 4 Januari lalu.

Untuk kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut laporan dibuat, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan lelaki sedang bermain di taman permainan sebelum mereka ke surau terbabit untuk minum air kerana kehausan.

Sewaktu selesai minum air, tertuduh menegur mangsa sebelum menghulurkan RM1 setiap seorang dan pada ketika itu, tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu terhadap kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun, perbuatan tertuduh turut disaksikan rakan lelaki mangsa sebelum mereka memberitahu ibu bapanya mengenai kejadian itu.

Susulan itu, ahli keluarga kedua-dua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat pada Januari dengan tertuduh ditahan pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan manakala tertuduh diwakili peguam Amir Anuar Abd Ghani.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM50,000 untuk kedua-dua pertuduhan selain menetapkan syarat tambahan termasuk memohon supaya pasport tertuduh diserahkan mahkamah.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan mengarahkan pasport tertuduh diserahkan selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Pada masa masa, mahkamah juga memerintahkan tertuduh agar tidak mengganggu saksi pendakwaan terutamanya mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 18 Mac depan untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini