comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Warden didakwa cabul pelajar lelaki di belakang tandas

FOTO: NSTP

MUAR: Seorang warden sebuah pusat pengajian swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki di belakang tandas di Kluang sejak tahun lalu hingga Januari tahun ini.

Tertuduh berusia 19 tahun, berhadapan tiga pertuduhan membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pelajar yang juga penghuni pusat pengajian itu berusia 12 tahun di belakang tandas, jam 1 pagi, hujung November tahun lalu.

Untuk pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Pertuduhan kedua dan ketiga, dia sekali lagi melakukan perkara terkutuk terhadap mangsa sama antara jam 1 hingga 2 pagi pada November 2023 dan Januari lalu dengan kedua-dua kejadian ini juga berlaku di belakang tandas dan juga bilik asrama.

Bagi kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (b) akta sama yang mana semua hukuman dikenakan terhadapnya adalah penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan laporan polis, mangsa dilaporkan melarikan diri dari pusat pengajian itu sebelum laporan orang hilang dibuat terhadapnya.

Namun, selepas mangsa dijumpai, dia menceritakan perkara sebenar termasuk tindakan melarikan diri kerana tidak tahan dengan perbuatan tertuduh.

Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, 16 Ogos lalu dan tertuduh ditahan pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam Syafie Naim.

Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 26 September depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen daripada pihak pendakwaan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan dua syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu atau mendekati serta berkomunikasi dengan mangsa sehingga prosiding selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini