MUAR: Warden sebuah pondok di Batu Pahat yang bakal menimang cahaya mata sulung Februari ini dipenjara 20 tahun dan 13 sebatan selepas mengaku bersalah atas kesalahan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki, sejak Mac lalu.
Mohamad Zabir Harith Bidin, 25, yang berdepan 13 pertuduhan membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid lelakinya berusia 15 tahun di sebuah pondok pengajian di Batu Pahat, antara jam 5.30 petang hingga 1 pagi, pada Mac hingga Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a), 14 (b) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang dipenjara serta pengawasan polis dua tahun sebalik selesai hukuman selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKTSKK.
Berdasarkan fakta kes, pada 23 Disember lalu, polis menerima laporan dibuat mangsa memaklumkan diliwat dan dicabul oleh tertuduh.
Siasatan polis mendapati, kejadian itu berlaku sejak Mac dan kali terakhir Ogos lalu dengan semuanya berlaku dalam bilik tertuduh di pondok pengajian berkenaan.
Berdasarkan siasatan, selepas kejadian pertama berlaku, mangsa kerap ke bilik tertuduh malah turut diminta mengemas selain melipat pakaiannya sebelum melakukan perbuatan itu.
Tertuduh juga dikatakan meminta mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa dan kejadian terbongkar apabila salah seorang tenaga pengajar di pondok terbabit mendapati prestasi pembelajaran mangsa merosot sebelum dipanggil untuk disoal siasat.
Mangsa akhirnya menceritakan kejadian sebenar sebelum dinasihatkan untuk membuat laporan polis.