Tumpuan :
Mahkamah

Wanita warga Vietnam tidak mengaku jadi pelacur, tinggal lebih masa

Doan Thi mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan termasuk terbabit aktiviti persundalan. 

MUAR: Seorang wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan aktiviti pelacuran serta tinggal lebih masa.

Tertuduh, Doan Thi Mong Trinh, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalillah Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah rumah kedai di Jalan Indah, Taman Indah, di sini, 3.15 petang, 1 Oktober lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa tinggal lebih masa di negara ini selepas pas lawatan sosial tamat tempoh pada 9 Ogos lalu dengan kejadian ini juga berlaku pada waktu, tarikh dan tempat sama.

Tertuduh didapati melanggar peruntukan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama, iaitu penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Susulan pengakuan tidak bersalah yang dibuat tertuduh, mahkamah menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini