KANGAR: Seorang wanita Thailand didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 34 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi tanpa lesen pada Disember tahun lalu.
Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid turut memerintahkan Salmee Changwang, 49, yang bekerja sebagai pemandu grab dihukum penjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Salmee dituduh memiliki barang kawalan berjadual iaitu 34 peket minyak masak 1kg bersubsidi dalam kenderaan pikap jenis Toyota Hilux Revo di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian pada jam 4.30 petang 19 Disember lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak itu secara runcit atau borong tanpa lesen.
Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.
Sementara itu, di mahkamah sama, Hakim Sharifah Norazlita memerintahkan hukuman denda RM20,000 terhadap pemandu lori Haw Boon Guey, 58, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki campuran petrol dan diesel sebanyak 400 liter tanpa lesen pada Jun tahun lalu.
Hakim juga memerintahkan Boon Guey dipenjara lapan bulan jika dia gagal membayar denda tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan, Jalan Kaki Bukit berhampiran sebuah stesen minyak di Beseri pada 10.30 pagi, 21 Jun 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.
Pendakwaan kedua-dua kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, S Mugunthan manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian membayar denda yang dikenakan. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.