SEREMBAN: Seorang wanita dan teman lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak perempuannya yang berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematian, bulan lalu.
Noraini Haron, 42 dan Mohd Khairul Shamsua Israk, 38 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Kedua-duanya didakwa dengan niat bersama sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli berusia tiga tahun, mangsa sehingga menyebabkan kematian.
Kesalahan itu dilakukan dari 18 Mac hingga 24 Mac 2024 antara jam lebih kurang 12 tengah hari hingga 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Mayung, Port Dickson.
Seorang wanita dan teman lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak perempuannya yang berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematian, bulan lalu. pic.twitter.com/9sl4EaIC9j
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) April 1, 2024
Justeru, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.
Noraini yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana tidak bekerja dan mempunyai tiga anak termasuk mangsa.
Manakala Mohd Khairul memaklumkan dia hanya bekerja sebagai pembantu bengkel dan menanggung enam anak serta ibu bapa.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Sebutan semula kes untuk laporan forensik 2 Mei depan.
27 Mac lalu media melaporkan polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson, pada 26 Mac bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan dari Hospital Port Dickson pada 24 Mac yang memaklumkan mangsa berada dalam keadaan kritikal akibat terjatuh daripada kenderaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.