BANGI: Seorang wanita hamil enam bulan yang menggunakan nama Miza Ozawa menerusi akaun Telegram, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini, hari ini atas tuduhan mencari langganan persundalan, awal bulan lalu.
Siti Amiza Baharuddin, 27, yang berniaga ‘ubat kuat’ membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Bagaimanapun, Nurdiyanah menetapkan 24 Jun ini untuk fakta kes dan jatuh hukum yang mana pertuduhan akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, jam 4 petang, pada 6 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Siti Amiza dalam rayuannya meminta denda minimum kerana sedang hamil enam bulan dan menghidap HIV.
Bagaimanapun, Nurdiyanah tidak menetapkan sebarang jaminan atas pertuduhan berkenaan.
Dalam prosiding sama, Siti Amiza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, dia didakwa memiliki bahan itu yang terkandung dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki ‘ubat kuat’ tanpa kelulusan KKM, wanita itu didakwa memiliki ubat tidak berdaftar dengan KKM iaitu dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara jelita yang didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran ke atas kedua-dua kesalahan dan hukuman berjalan berasingan.
“Bagi kesalahan di bawah KKM, hukuman denda saja tidak memberi pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam,” katanya.
Siti Amiza dalam rayuannya memohon hukuman setimpal dan denda dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan selepas wang simpanannya untuk bersalin sudah dirampas pihak berkuasa.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang wanita ditahan di Bandar Bukit Mahkota selepas disyaki terbabit aktiviti promosi seks dan penjualan ‘ubat kuat’ di laman sosial, dikatakan mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, dilaporkan berkata, aktiviti persundalan itu dilakukan wanita berkenaan bersama empat lagi suspek yang turut ditahan.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilaporkan berkata selain mereka, dalangnya, seorang wanita berusia 27 tahun dikenali sebagai ‘Miza Ozawa’ serta dua warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia 20 dan 26 tahun.
Katanya, semakan ke atas dalang mendapati suspek utama itu pernah disabitkan kesalahan lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyerang ibunya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.