Tumpuan :
Mahkamah

Wanita dipenjara 10 bulan, miliki wang palsu

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang pekerja wanita kedai pakaian dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan atas tuduhan memiliki wang palsu dengan nilai palsu RM1,860 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Melati Diana Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Norhayati Talib, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya bersama Zuhan Khan Mohamed Ali, 53, dan Mohd Kadrie Kamarulzaman, 41 tahun.

Zuhan Khan dan Mohd Kadrie bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa memiliki 18 keping wang kertas RM100 dan tiga keping RM20 dengan menyedari mata wang berkenaan adalah palsu dan boleh disalahguna sebagai tulen.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tumpangan di Jalan Batu Ferringhi pada jam 4.30 petang, 20 Mac lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 masing-masing terhadap Zuhan Khan dan Mohd Kadrie dengan seorang penjamin, selain mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Mahkamah turut mengarahkan supaya kedua-dua tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai.

16 Mei ditetapkan bagi lantikan peguam serta sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah sama, Zuhan Khan turut mengaku tidak bersalah atas kesalahan memiliki 14 keping wang kertas RM100 dan sekeping RM20 dengan menyedari mata wang tersebut adalah palsu dan boleh disalahgunakan sebagai tulen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di sebuah rumah tumpangan di lokasi dan masa yang sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mahkamah menetapkan jamin RM4,000 dengan seorang penjamin yang perlu terdiri daripada ahli keluarga.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh perlu lapor diri di balai polis setiap bulan sehingga keputusan kes.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Zuhan Khan didakwa menggunakan wang palsu RM100 di sebuah kedai serbaneka di Batu Ferringhi.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan sebagai tulen sekeping wang kertas RM100 yang telah dibuat dengan jalan pemalsuan atau mengetahui ia palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai serbaneka di Batu Ferringhi jam 11.17 malam pada 11 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah seksyen sama penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan tertuduh serahkan pasport kepada mahkamah, serta tidak menganggu saksi sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Mei.

Loading...
Terkini