Tumpuan :
Mahkamah

Wanita didenda, buat laporan palsu diragut

KUALA LUMPUR: Gara-gara membuat laporan palsu diragut oleh dua individu sehingga menyebabkan kerugian lebih RM700,000 seorang suri rumah dijatuhi hukuman denda RM1,200 oleh mahkamah majistret di sini, hari ini

Majistret Aina Azahra Tun Ariffin turut memerintahkan Karen Lee Chy Na, 35, yang mengaku  membuat laporan polis palsu, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Lee didakwa memberi maklumat palsu kepada Koperal Muhammad Sharil Zainal Abidin bahawa dia diragut oleh kedua-dua individu yang kemudian melarikan diri dengan pasport miliknya dan tiga utas jam tangan bernilai RM779,000.

Mengikut pertuduhan, perbuatan tertuduh telah menyebabkan Inspektor Ahmad Souffi Mohd Shaffei menjalankan kuasa-kuasa menyiasat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Travers, Brickfields, di sini pada 11.20 pagi 10 Jun lalu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan meminta denda ringan atas alasan anak guamnya hanyalah seorang suri rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini