comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Wanita didakwa terima deposit pelaburan emas RM5 juta tanpa lesen

FOTO: NSTP

TAWAU: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen bagi pelaburan emas dianggar lebih RM5 juta tahun lalu.

Norhafizah Abbas, 30, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa bersetuju menerima deposit melalui transaksi tunai daripada orang awam di Tingkat 1 Pusat Komersil Gaya di Jalan Guru, dekat sini, pada 30 Mei hingga 20 Julai tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa bersetuju menerima deposit daripada orang awam secara pindahan dalam talian melalui satu akaun semasa Maybank milik Abbas Family Enterprise dan akaun simpanan milik tertuduh sendiri di Maybank Islamic Berhad, Jalan Mahkamah Fajar Kompleks antara 21 Mei hingga 17 Jun tahun lalu.

Untuk pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa bersetuju menerima deposit daripada orang awam secara pemindahan wang dalam talian melalui satu akaun simpanan Public Bank milik Zerina Collection dan Akaun Zerina Collection Sdn Bhd di premis bank berkenaan di Fajar Kompleks pada 23 Mei hingga 14 Julai tahun sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Syahnidzam Ahmad mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dibaca bersama Seksyen 137(2) akta sama atas kesalahan menerima deposit tanpa memegang satu lesen sah diberikan di bawah Seksyen 10 Akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan dan sebutan semula kes.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan lebih 300 individu kerugian jutaan ringgit selepas terpedaya tawaran sebuah syarikat pelaburan emas di daerah ini.

Semua mangsa mendakwa dijanjikan pulangan lumayan sebagai ‘Rakan Niaga Pelaburan Emas’ iaitu RM25 bagi setiap gram atau lima hingga 15 peratus dalam tempoh 10 hari berdasarkan jumlah pelaburan dibuat kepada syarikat.

Mangsa bukan sahaja tidak menerima pulangan keuntungan dijanjikan, malah ada kehilangan tanah yang digadai, menjual aset selain mengeluarkan wang simpanan untuk membuat pelaburan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini