TAWAU: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing di kawasan ladang kelapa sawit di Batu 5 Jalan Apas, dekat sini, 13 Januari lalu.
Tertuduh, Nurima Juli, 33, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd Dzul Elmi Yunus.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurimah bersama beberapa lagi individu yang masih bebas dituduh membunuh Nurman Bakaratu, 61, yang juga seorang pemandu e-hailing antara 7.30 malam hingga 10.30 pada 13 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu rekuisisi, laporan kimia, dan laporan bedah siasat.
Sebelum itu, tertuduh yang berpakaian baju T hitam dan seluar jeans biru tiba di Mahkamah kira-kira jam 2.22 petang sambil diiring anggota polis sebelum dibawa ke bilik bicara mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan, tertuduh bersama lapan pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh terbabit. – BERITA HARIAN