Tumpuan :
Mahkamah

Wanita dakwa jadi perempuan simpanan langsai hutang bapa akan didakwa esok

Foto hiasan

GEORGETOWN: Seorang wanita yang mendakwa dirinya terpaksa bekerja sebagai perempuan simpanan bagi melangsaikan hutang bapa dengan sindiket pinjaman wang akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, berkata wanita itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown.

“Pertuduhan kes video viral di laman media sosial TikTok itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab wanita terbabit mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat umum,” katanya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan ​tular video rakaman siaran langsung di aplikasi TikTok berdurasi enam minit 45 saat memaparkan perbualan hos audio siar dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bersama seorang pemanggil wanita.

Wanita itu mendakwa, bapanya yang bercerai dengan ibu, terdahulu berhutang RM20,000 dengan along dan gagal melunaskannya.

Dia kemudian mendakwa dipaksa bekerja dengan along terbabit sejak Februari lalu di sebuah ‘rumah merah’ di Pulau Pinang sebagai perempuan simpanan tanpa diberi gaji serta mohon diselamatkan.

Siasatan polis mendapati, dakwaan itu tidak benar dan tidak pernah berlaku, malah wanita berkenaan mengakui ia direka sekadar bagi meluahkan perasaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini