RINGKASAN BERITA
- Datuk Mou Ei Leen@Eileen Mou, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan meracun suaminya, seorang pegawai kanan polis serta ibu mertua.
- 12 Oktober tahun lalu, terduduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri dua unit jam tangan jenama mewah milik suaminya pada Januari 2021.
Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Seorang wanita bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan meracun suaminya seorang pegawai kanan polis serta ibu mertua.
Bagaimanapun tertuduh, Datuk Mou Ei Leen@Eileen Mou, 41, mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Azman Mustapha.
Bagi pertuduhan pertama, wanita terbabit didakwa dengan sengaja meracun suaminya, Deputi Superintendan (DSP) Derek Lai Marn Kuen, 44, di sebuah rumah di Lorong Seri Kuantan, di sini, pada Julai 2019.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap ibu mertuanya, Molly Stephens, 76, di sebuah rumah orang tua juga di Lorong Seri Kuantan, pada Julai 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Duranie.
Manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam.
Suri rumah mempunyai dua anak perempuan berusia 12 dan 15 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Hakim menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 untuk kedua-dua pertuduhan serta menyerah pasport antarabangsa kepada mahkamah.
12 Oktober tahun lalu, terduduh didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan mencuri dua unit jam tangan jenama mewah milik suaminya pada Januari 2021.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.