comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Wahab tuntut RM5 juta daripada Chegubard

Abdul Wahab Abdul Kader Jilani (kiri) & Badrul Hisham Sahaharin atau dikenali sebagai Chegubard.

KUALA LUMPUR: Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kader Jilani menuntut ganti rugi RM5 juta serta permohonan maaf selama 30 hari berturut-turut daripada aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Ia susulan dakwaan bahawa Chegubard, 46, menyiarkan video menerusi Facebook rasminya kononnya beliau berbual lucah dengan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Dr Mohammad Agus Yusoff yang bertujuan menunjukkan pembabitan aktiviti tidak bermoral atau homoseksual.

Abdul Wahab menfailkan pernyataan tuntutan itu pada 22 Disember tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Faizal Rahman & Co.

Abdul Wahab berkata hantaran Facebook pertama Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu itu menggambarkan dirinya menjalankan hubungan songsang dengan pegawai atasan, kakitangan kerajaan menyokong homoseksual, individu tidak bermoral, seorang yang suka berbual lucah dan bukan Muslim yang baik.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Abdul Wahab mendakwa perbuatan fitnah itu dilakukan di dua Facebook rasmi dan saluran Telegram Chegubard.

“Defendan sudah menceroboh privasi saya dengan menyebarkan video itu. Saya menuntut ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM5 juta dibayar oleh defendan kepada saya. Permohonan maaf kepada saya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dan seterusnya dalam tempoh 48 jam selepas menerima kembali draf permohonan maaf yang diluluskan menerbitkan selama 30 hari berturut-turut di beberapa akhbar tempatan secara bertulis,” katanya.

Katanya, Chegubard juga perlu memadam pernyataan fitnah itu dari semua laman sesawang, platform media dan semua media sosial di bawah pengetahuan, kawalan atau jagaannya.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak 17 November lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu iaitu Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini