Tumpuan :
Mahkamah

Vivy Yusof, suami tiba di mahkamah untuk sebutan semula kes

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 8.39 pagi.

Kehadiran pasangan pengasas platform e-dagang itu bagi sebutan semula kes berkaitan pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka dikatakan telah membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd.

Bayaran yang dibuat kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd itu pula didakwa dibuat tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Fashion Valet Sdn Bhd.

Kesalahan itu dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, di sini, pada 21 Ogos 2018.



Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan serta Seksyen 34 kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, sebat, dan denda.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan beberapa syarat termasuk penyerahan pasport.

Bagaimanapun kedua-dua pasangan itu sebelum ini memohon untuk mendapatkan pasport antarabangsa sementara bagi tujuan menunaikan ibadah umrah.

Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan permohonan itu selepas meneliti permohonan pihak peguam yang mewakilinya, Ashok Athimulan selain tiada bantahan dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Januari untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini