Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar berdepan satu lagi pertuduhan pilihan berhubung salah guna dana berjumlah RM8 juta tujuh tahun lalu.
Salah guna itu melibatkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang juga milik FashionValet Sdn Bhd.
Terdahulu, kedua-dua mereka membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Vivy atau nama sebenarnya, Vivy Sofinas Yusof serta suaminya dikatakan secara bersama tidak jujur dengan menyalahgunakan dana pelaburan milik Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara, Bukit Damansara, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sabit kesalahan, pasangan yang masing-masing berusia 37 dan 36 tahun itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau maksimum sehingga lima tahun.
Selain itu, kedua-dua mereka juga boleh dikenakan denda serta sebat jika didapati bersalah.
Pada 5 Disember lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 21 Ogos 2018 dengan dana berkenaan dikatakan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun syarikat Fashion Valet ke syarikat lain tanpa kelulusan lembaga pengarah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.