Tumpuan :
Mahkamah

Vincent Tan dan Berjaya Land dapat injunksi lanjutan halang Sanusi keluarkan kenyataan fitnah

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor & Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melanjutkan perintah injunksi yang diperoleh Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Injunksi ex-parte (sebelah pihak) itu diperolehi Vincent Tan dan Berjaya Land pada 17 Ogos lalu, bagi menghalang Muhammad Sanusi daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka, dan ia tamat pada hari ini.

Ia susulan saman fitnah yang difailkan kedua-dua plaintif itu terhadap Muhammad Sanusi (defendan) berhubung kenyataaan yang didakwa memfitnah mereka dalam satu ucapan pada 2 Ogos.

lalu mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Peguam Chuar Kia Lin yang mewakili Vincent Tan dan Berjaya Land ketika dihubungi berkata, Mahkamah Tinggi sepatutnya mendengar permohonan injunksi secara inter-parte (dua belah pihak) hari ini, bagaimanapun peguam Muhammad Sanusi memaklumkan mereka memerlukan masa untuk memfailkan afidavit dan hujahan bertulis.

Peguam itu berkata, berikutan itu Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choong Yeow Choy menetapkan pendengaran injunksi inter-parte pada 25 Oktober ini dan dipersetujui pihak plaintif.

Katanya mahkamah kemudian memberikan injunksi ad-interim (injunksi lanjutan sementara) kepada plaintif sementara injunksi inter-parte itu didengar dan diputuskan.

Vincent Tan dan Berjaya Land menyaman Muhammad Sanusi berhubung ucapannya pada ceramah sempena kempen pilihan raya ‘Jelajah Mega PN Best’ atau ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour’ di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Vincent Tan berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain membawa maksud beliau dan syarikat terbabit adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud mereka memberikan manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri sebagai balasan kepada tanah percuma itu.

Selain itu, kata plaintif ia juga bermaksud mereka menyebabkan kerajaan negeri Selangor mengalami kerugian dan membelanjakan sekurang-kurangnya RM180 juta susulan tanah yang didakwa diberikan secara percuma.

Vincent dan Berjaya Land menuntut daripada Muhammad Sanusi, antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan yang didakwanya berbaur fitnah itu.

Loading...
Terkini