comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pencemaran udara di Pasir Gudang: Denda responden dinaikkan kepada RM640,000


JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini memerintahkan hukuman denda terhadap responden pencemaran udara Pasir Gudang, dinaikkan kepada RM80,000 bagi setiap pertuduhan berbanding RM40,000 sebelum ini bagi setiap pertuduhan.

Justeru, Syarikat P Tech Resources Sdn Bhd diperintahkan membayar denda keseluruhan berjumlah RM640,000, membabitkan lapan pertuduhan pilihan berbentuk kesalahan pentadbiran.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal menjalankan pemantauan berkala, gagal memastikan sistem kawalan pencemaran udara diselia pihak berwibawa, selain gagal melengkapkan premis dengan peralatan bagi memantau prestasi sistem kawalan pencemaran udara.

Dalam penghujahannya, Hakim Datuk Abu Bakar membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan dan meningkatkan hukuman denda ke atas responden berkenaan, selepas meneliti semua rekod rayuan dan menghalusi hujahan lisan dan bertulis pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah berpendapat sebaik pendakwaan menawarkan lapan pertuduhan pilihan ke atas responden membabitkan kesalahan pencemaran udara, pendakwaan tidak boleh bergantung kepada keterangan semasa perbicaraan berkaitan pertuduhan asal yang membabitkan pembuangan enapan ke dalam Sungai Kim Kim.

FOTO: NSTP

Pendakwaan juga katanya tidak boleh bergantung kepada pengakuan bersalah pemandu lori, N Maridass, bagi mengaitkan responden dengan kesalahan asal membabitkan pencemaran Sungai Kim Kim kerana fakta kes tidak menyatakan Maridass melepaskan buangan terjadual yang terhasil dari proses pyrolisis tayar lama daripada kilang responden.

“Hakim Mahkamah Sesyen ketika menjatuhkan hukuman ke atas responden, tidak dipengaruhi liputan media massa yang menyiarkan pencemaran Sungai Kim Kim.

“Oleh itu, tindakan pihak pendakwaan yang merujuk petikan akhbar bagi memohon denda maksimum tidak boleh dipertimbangkan kerana keratan akhbar sekadar hear say,” katanya.

Abu Bakar berkata Hakim Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya gagal menghayati tujuan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Sekiranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak melakukan pemeriksaan ke atas premis kilang responden, kesalahan ini akan berlaku secara berterusan dan ia akan mendatangkan pencemaran udara yang teruk kepada penduduk,” katanya.

Abu Bakar berkata Hakim Mahkamah Sesyen turut gagal menimbangkan kekerapan kes pencemaran udara yang berlaku di Johor, selain gagal mengambil notis penghakiman ketika menjatuhkan hukuman denda terhadap responden.

Beliau berkata berdasarkan alasan diperincikan, Mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan bagi kesemua pertuduhan pilihan membabitkan pencemaran udara.

“Mahkamah ini menaikkan hukuman denda RM40,000 kepada RM80,000 bagi setiap kes dan dengan ini rayuan responden/syarikat atas hukuman, ditolak,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreen Mamat dan Nurliyana R Azmi, manakala syarikat P Tech Resources Sdn Bhd diwakili oleh peguam N Subramaniam dan S Selvantheran.

Pada 30 November 2023, Ketua Pengarah Alam Sekitar (JAS) Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar memaklumkan bahawa syarikat P Tech Resources yang berdepan lapan pertuduhan pilihan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan denda berjumlah RM320,000.

Dalam insiden 13 Mac 2019 itu, lebih 2,000 orang awam terjejas dan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai akibat pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini