Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kes letupan buatan sendiri, suami isteri didakwa membunuh

Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang

Oleh Syafiqah Damanhuri

AMPANG: Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pagi Isnin atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga pelayan restoran, Disember lepas.

Tertuduh, Khor Swee Boon, 33 tahun, dan isterinya, Ng Hui Yee, 30 tahun, mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama menyebabkan kematian Cho Lim Fong, 29 tahun.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu jam 8.55 malam di hadapan sebuah restoran dekat Jalan Pandan Indah 1/22, Pandan Indah, pada 29 Disember.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin dan kes disebut semula pada 23 Mac nanti.

Sebelum ini, media melaporkan pelayan restoran itu maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.

Mangsa parah pada badan dan tangan kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang, untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam.

Hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

Dua suspek terbabit ditahan di Serdang, Kedah pada 3 Januari.

Loading...
Terkini