comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Dua buruh didakwa rogol, lakukan persetubuhan luar tabii terhadap remaja perempuan

Dua buruh, Muhammad Fakrullah Roslan, 20, (dua kanan) dan Muhammad Fikri Firdaus Mohamad Fairus, 23, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja perempuan yang juga penuntut Institusi Pengajian Tinggi di sebuah rumah di Jalan Tawang, dekat Bachok. Bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Dua buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja perempuan yang juga penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada 4 Ogos lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Muhammad Fakrullah Roslan, 20, dan Muhammad Fikri Firdaus Mohamad Fairus, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa merogol dan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa yang berusia 18 tahun satu bulan ketika kejadian.

Perbuatan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tawang, dekat Bachok, jam 1 pagi pada 4 Ogos 2024.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) (Akta 574) bagi pertuduhan rogol, manakala untuk persetubuhan luar tabii, mereka didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala kedua-dua tertuduh masing-maisng diwakili peguam, Norizaidah Abdul Salam dan Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Terdahulu, Kamarul tidak mencadangkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana mangsa adalah penuntut IPT yang berusia 18 tahun.

Norizaidah dan Mohd Firdaus memohon supaya mahkamah membenarkan anak guam mereka diikat jamin.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu melapor diri di balai polis terdekat.

Mahkamah juga menetapkan 5 November depan sebagai sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini