Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bunuh, sorok mayat ibu dalam peti beku, paderi sambilan hadapi 302 Kanun Keseksaan

Mengikut pertuduhan, N. Deanesh, 53, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian seorang wanita, pada 21 Mac hingga 26 Mac 2021.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Seorang paderi sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya.

Tertuduh yang berkerusi roda mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, N. Deanesh, 53, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian seorang wanita, pada 21 Mac hingga 26 Mac 2021.

Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di Taman OUG, Klang Lama.

Pertuduhan dibuat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, tertuduh juga boleh dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Majistret Atiqah Mohamed menetapkan 7 Februari depan untuk laporan bedah siasat, perubatan dan DNA.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju putih dan berseluar pendek tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.30 pagi.

12 November lalu, seorang lelaki menghubungi talian kecemasan mendakwa mengalami masalah kesihatan ketika berada di rumahnya selain mendakwa telah membunuh ibunya di kediaman sama tiga tahun lalu.

Kejadian terungkai selepas pihak polis dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian menemukan lelaki itu terbaring di sebelah peti sejuk beku yang menempatkan mayat mangsa.

Suspek turut mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan, selain mempunyai masalah kesihatan kronik.

Bedah siasat ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada mayat wanita warga emas berusia sekitar 80-an itu, kesan daripada hentakan objek tumpul dan dikenal pasti sebagai punca kematian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini