Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Ahli GISBH mengaku tidak bersalah datangkan ugutan jenayah

 

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA:  Seorang ahli kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita.

Mengikut pertuduhan,  Mohamad Riza Makar, 39, didakwa menakutkan mangsa secara jenayah dengan mengeluarkan kata- kata ‘kita tunggu, kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga’, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran terhadap mangsa yang enggan menarik balik laporan polis yang dibuatnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 September lalu, sekitar jam 10 malam di tempat letak kereta Galleria Presint 4, Putrajaya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM 30,000 dengan dua penjamin, beserta syarat tambahan lain, kerana ugutan yang dibuat tertuduh semasa siasatan kes sedang berjalan, memberi pengaruh terhadap pemikiran mangsa.

Bagaimanapun peguam, Zulfikri Ulul Azmin berhujah, ugutan yang dibuat oleh tertuduh beristeri tiga dan mempunyai 10 anak itu, hanya suatu kes yang ringan, selain ugutan yang dibuat bukan ugutan membunuh atau mencederakan.

Majistret Ahmad Afiq Hasan membenarkan jaminan sebanyak RM 10,000 dengan seorang penjamin dan syarat melapor diri sebulan sekali.

18 Oktober depan turut ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu tertuduh yang memakai jaket kulit coklat, bertopi dan pelitup muka tiba di mahkamah sekitar jam 8.40 pagi, cuba mengelak daripada dirakam pihak media.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini