KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad akan didakwa lagi atas pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam minggu depan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Farah Yasmin Salleh pada sebutan kes Adam Radlan, 42 tahun, membabitkan lima pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussin, hari ini.
Sehubungan itu pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu untuk permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14 selepas pertuduhan di Mahkamah Shah Alam selesai.
Mahkamah menetapkan 28 November untuk sebutan semula kes.