comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ugut, cederakan kekasih guna kayu besbol, peniaga dipenjara 6 bulan

Foto hiasan

KLANG: Peniaga burger dipenjara enam bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan khianat, ugutan dan sengaja menyebabkan kecederaan kepada bekas kekasihnya, Ogos lalu.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Akmarulnizar Hafif Kamarulhisham, 23, mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Siti Zubaidah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Ogos lalu.

Tertuduh juga diperintahkan menjalani penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.

Mengikut pertuduhan Akmarulnizar didakwa dengan sengaja mencederakan seorang wanita berusia 23 tahun menggunakan kayu besbol sebagai senjata untuk menyerang mungkin menyebabkan kematian seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Lelaki itu juga dituduh khianat dengan memecahkan cermin kereta milik wanita itu dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Akmarulnizar turut didakwa melakukan ugutan jenayah dan menghayunkan parang kepada wanita terbabit.

Justeru, dia dakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Teluk Gong, di sini jam 6 pagi pada 10 Ogos lalu.

Secara pecahannya, mahkamah menjatuhi penjara enam bulan dari tarikh tangkap bagi kes mencederakan dan ugutan jenayah yang mana hukuman itu diperintahkan diperintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Bagi kesalahan khianat pula adalah denda RM1,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayarnya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Saifullah Muhamad Azmi menyatakan berlaku perselisihan faham antara anak guam dan mangsa.

“Tertuduh tidak sengaja terlepas kayu besbol itu dan mengenai mangsa. Anak guam memohon maaf dan berjanji tidak mengulanginya pada masa akan datang.

“Mohon hukuman penjara singkat dan berjalan serentak,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi menegaskan tertuduh mempunyai tiga pertuduhan dan memohon hukuman ‘deterrent’ sebagai pengajaran dan faktor kepentingan awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini