Tumpuan :
Mahkamah

Tunggang melulu hingga cederakan polis, pelajar Tingkatan 5 didakwa

Remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Trafik Seremban, hari ini, atas pertuduhan menunggang secara berbahaya dan melulu dengan melawan arus sehingga mencederakan anggota polis, Julai lalu. – Foto: NSTP

SEREMBAN: Remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Trafik, di sini, hari ini, atas pertuduhan menunggang secara berbahaya dan melulu dengan melawan arus sehingga mencederakan anggota polis, Julai lalu.

Bagaimanapun, tiada hukuman dijatuhkan hari ini terhadap tertuduh yang hadir berkerusi roda selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marlissa Mohd Fahmy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menunggang motosikal di jalan raya dengan melulu dan berbahaya kepada orang awam iaitu secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis trafik.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 2 pagi di Kilometer (KM) 36 (S) Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), di sini, 28 Julai lalu.

Justeru itu, pelajar Tingkatan Lima itu telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika disabitkan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan jika sabit lesen memandu percubaan boleh dibatalkan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan memohon tarikh baharu untuk fakta dan hukuman sementara menunggu laporan penilaian akhlak memandangkan tertuduh adalah remaja bawah umur.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 dan tarikh sebutan bagi fakta dan hukuman semula pada 20 November depan.

Media pada 28 Julai lalu melaporkan anggota polis trafik dan remaja parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Lekas.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban itu sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini