comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tun M tidak sihat, bicara kes saman terhadap Ahmad Zahid ditangguhkan 19 Julai

Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ’kutty’ membabitkan bekas perdana menteri itu yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke 19 Julai depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan penangguhan itu susulan permohonan peguam Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi yang memberitahu bahawa anak guamnya tidak sihat.

Mior Nor Haidir memaklumkan Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 Januari lepas dan pihak IJN menghantar surat kepada mahkamah memaklumkan anak guamnya tidak sihat untuk hadir ke mahkamah hari ini.

“Anak guam kami diberi sijil cuti sakit oleh IJN dari 26 Januari hingga 18 Februari ini. Kami mohon supaya perbicaraan hari ini ditangguhkan,” kata Mior Nor Haidir yang turut dibantu peguam Rafique Rashid Ali.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Ahmad Zahid mencadangkan perbicaraan kes itu bermula Oktober.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan itu dan menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 19 Julai, 26 dan 27 Ogos serta 29 dan 30 Oktober ini.

Sementara itu, Mior Nor Haidir memaklumkan kepada mahkamah pihak plaintif mengemukakan dua saksi iaitu Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes berkenaan.

Mohamed Shahrul Fazli pula berkata timbalan perdana menteri itu dan seorang lagi saksi sepina akan memberi keterangan pada perbicaraan nanti.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini