Tumpuan :
Mahkamah

Tukar pengakuan bersalah, Jurutera kanan didenda RM13,622

SHAH ALAM: Seorang jurutera kanan sebuah syarikat swasta didenda RM13,622 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu bagi tuntutan kerja luar dalam negara pada 2018.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohammad Khuzairee Ibrahim, 41, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes berkenaan.

Tertuduh turut diperintah dipenjarakan 13 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Anita dalam penghakimannya turut menasihati tertuduh supaya meneruskan kehidupan dan mengambil pengajaran daripada kesalahan dilakukan.

Menurut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan curang telah menggunakan beberapa dokumen sebagai tulen dalam tuntutan kerja luar dalam negara, yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen berkenaan adalah palsu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pejabat di Petaling Jaya, dekat sini, pada 25 Januari dan 15 Mac 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohammad Khuzairee yang diwakili peguam, Nurainaa Izzati Mohd Shukor, memohon mahkamah mengenakan denda minimum dengan alasan tertuduh adalah penanggung utama keluarga, selain sudah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman, memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam mengatasi individu.

Loading...
Terkini