MUAR: Seorang tukang urut bersama empat rakannya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan memiliki lebih 25,000 mililiter (ml) air dan daun ketum serta dadah Rabu lalu.
Empat daripada tertuduh iaitu Mohd Zahrin Sudin, 32; Muhafizam Abdul Ghani, 37; Mohd Iskandar Yaacob, 26 dan Muhamad Redzuan Md Zain, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibaca di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Seorang lagi tertuduh iaitu Najib Jamaludin, 35, yang juga penganggur mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kedua, mereka bersama-sama didakwa memiliki 4,000 dan 21,500 ml cecair bahan psikotropik iaitu mitragynine (air ketum) di sebuah rumah di FELCRA Bukit Kepong, di sini, pada jam 4.30 petang 11 Disember lalu.
Pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa memiliki daun ketum seberat satu kilogram, manakala pertuduhan keempat, memiliki cecair dadah jenis MDMA sebanyak 42.5 ml dengan kejadian ini berlaku pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan berkaitan dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu memandangkan belum menerima laporan kimia serta menawarkan ikat jamin RM10,000 terhadap setiap tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 seorang bagi pertuduhan mengikut Seksyen 30(3) dan RM2,000 untuk Seksyen 12(2), dengan kes disebut semula pada 12 Mac ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.