Tumpuan :
Mahkamah

Tukang tilik dituduh tipu pegawai LHDN lebih setengah juta ringgit

Tukang tilik mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu pegawai LHDN lebih setengah juta ringgit di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.

Oleh Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Seorang tukang tilik warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan menipu dan memperdayakan seorang wanita sehingga mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit, pada Mac hingga Oktober lalu.

Pertuduhan ke atas tertuduh, N. Prakash, 24 tahun dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Harith Mohd Mazlan.

Tertuduh didakwa menipu mangsa yang juga Penolong Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berusia 59 tahun dengan memperdayakannya untuk mempercayai dirinya boleh menilik nasib dan mengubati penyakit sehingga wanita berkenaan menyerahkan wang berjumlah RM516,450.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda, Bukit Mertajam di antara 23 Mac hingga 18 Oktober 2022 .

Dakwaan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan sabit kesalahan dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin lapan ribu ringgit dengan dua orang penjamin rakyat tempatan.

Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu.

31 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Loading...
Terkini