Tumpuan :
Mahkamah

Tukang rumah dipenjara 5 bulan ugut Harith Iskander, keluarga

Izzuddin Md Salim mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan mengaibkan kehormatan Harith Iskander dan keluarga.- FOTO: NSTP

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Seorang Tukang rumah dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah menghantar mesej berbaur ugutan jenayah terhadap keluarga pelakon dan pelawak Harith Iskander menerusi aplikasi WhatsApp minggu lalu.

Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Izzuddin Md Salim, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan.

Beliau mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara terbabit bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Januari 2025 selain mengenakan denda sebanyak RM2,000 ke atas tertuduh.

Beliau turut mengarahkan lelaki berkenaan dipenjarakan lagi sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menghantar pesanan WhatsApp yang mengandungi kata-kata ugutan yang bermaksud tertuduh akan melakukan jenayah rogol dan bunuh sekitar jam 8.50 pagi pada 23 januari lepas.

Mesej berkenaan diterima oleh bekas isteri Harith iaitu Jazemine Lim, 42, di sebuah restoran di Dang Wangi, Kuala Lumpur, yang mana perbuatan tertuduh itu telah menakutkan wanita berkenaan secara jenayah.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Harith dan Jezamine terlebih dahulu tiba di Mahkamah majistret kira-kira jam 8:43 pagi dengan ditemani peguam masing-masing.

Pada 23 Januari lalu, kira kira jam 3 petang, Jazemine sedang berada di Restoran, dimaklumkan kakitangannya bahawa telefon bimbit syarikat menerima mesej ugutan berserta dengan gambar anak-anaknya daripada nombor yang tidak dikenali.

Selepas perkataan ugutan tersebut, pengirim juga telah menghantar sekeping gambar kanak-kanak yang merupakan anak-anak pengadu.

Pengadu telah pergi ke balai polis untuk membuat laporan kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga berikutan ugutan menunjukkan penghantar mesej dan gambar tersebut akan melakukan jenayah rogol dan bunuh terhadap anaknya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini