Tumpuan :
Mahkamah

Tukang rumah didakwa tampar, sepak isteri kerana wang hantaran anak

Foto: NSTP

MUAR: Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya gara-gara berang terhadap wanita itu yang tidak berbincang dengannya mengenai hantaran perkahwinan anak perempuannya, minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Haidi Omar, 51, yang berdepan dua tuduhan menampar dan menyepak isterinya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 47 tahun menggunakan kaki.

Bagi tuduhan kedua pula, dia sekali lagi didakwa mendatangkan kecederaan dengan menggunakan tangan terhadap isterinya di sebuah rumah di Jalan Pantai pada jam 9 pagi antara 21 hingga 22 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama bagi kedua-dua pertuduhan.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan ke atas sabitan bagi kesalahan mengikut seksyen yang relevan, bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tidak boleh berhubung, mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Februari.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini