![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BTV3-NEW-24.jpg)
JOHOR BAHRU: Seorang tukang masak didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan menyimbah cat ke atas dua buah kereta milik seorang lelaki, bulan lalu.
Keputusan denda itu dibuat Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.
Tertuduh, Rianovent Teo Chin Xi, 30, didakwa melakukan khianat menyimbah cat merah ke atas dua buah kereta milik seorang lelaki sehingga menyebabkan kerugian RM500.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Camar 8, Taman Perling, kira-kira jam 5 petang, pada 26 Januari lalu.
Di kamar berasingan tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin atas dua tuduhan melakukan khianat dengan cara sama ke atas dua buah rumah sehingga menyebabkan pemilik kediaman itu mengalami kerugian antara RM57,000 dan RM60,000.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Padi Emas, Bandar Baru Uda, kira-kira jam 6 pagi, pada 10 Januari lalu dan di Taman Johor Jaya, kira-kira jam 8 pagi, pada 25 Januari lalu.
Bagi kes ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap tuduhan dan 21 Mac depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noratini Nik Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Kenji Soh Xin Da.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.