Tumpuan :
Mahkamah

Tukang cuci mengaku rogol remaja dipenjara 5 tahun, 2 sebatan

Mohammad Syed Kamarul dipenjara lima tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah merogol remaja perempuan. FOTO: NSTP

MUAR: Pekerja kedai cuci kenderaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan, minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Syed Kamarul Akhmal Amran, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya sebelum Hakim Sayani menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan.

Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa merogol remaja berusia 13 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat, antara jam 4.30 hingga 5 pagi, 2 Februari lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 3 Februari lalu, polis menerima laporan daripada pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) berhubung seorang pesakit yang juga mangsa, dirogol kenalan lelaki.

Siasatan polis mendapati, sehari sebelum kejadian, tertuduh didakwa mengenali mangsa di sebuah kedai makan pada jam 1.30 pagi lalu mengajaknya ke rumah lelaki terbabit.

Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh ketika ahli keluarganya sedang tidur dan siasatan juga mendapati mangsa adalah individu yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Kejadian itu terbongkar apabila ahli keluarganya membawa mangsa ke HSNI untuk menjalani pemeriksaan sebelum mendapati dia telah dirogol.

Susulan itu, ahli keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Yong Peng pada 3 Februari lalu dengan tertuduh ditahan keesokan hari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain menjatuhkan hukuman itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling ketika di penjara serta pengawasan polis setahun sebaik selesai tahanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini