Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Tukang besi dihukum penjara 7 tahun, 2 sebatan kerana cederakan lelaki

Muhammad Ariff dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging, minggu lalu.

JOHOR BAHRU: Seorang tukang besi dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging, minggu lalu.

Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Ariff Jilon Majaun, 45, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa lelaki berusia 43 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging di Jalan Meldrum berhampiran Merlin Tower di sini, pada 2.24 petang, 11 Februari lalu.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan berkata, “Saya menyesal. Saya mabuk ketika itu. Jadi, saya minta hukuman seringan-ringannya.”

Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang mengambil kira kepentingan awam.

“Jika diteliti gambar kecederaan, mangsa mendapat lima jahitan pada kepalanya. Perbuatan ini juga menyebabkan mangsa trauma,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dan sebat itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap, 11 Februari lalu.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa sedang minum di kawasan terbabit apabila melihat tertuduh menendang motosikal orang awam dan mangsa menegur perbuatan tertuduh.

Tertuduh berang dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka, sebelum tertuduh menghilangkan diri dan muncul tidak lama kemudian bersama sebilah pisau pemotong daging, lalu menetak kepala mangsa beberapa kali.

Mangsa cuba mempertahankan diri sebelum rebah berlumuran darah dan terus dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini