MANJUNG: Tujuh warga Filipina termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini kerana mengguna identiti dan dokumen pengenalan diri tidak sah untuk mendapatkan pekerjaan dan tinggal di negara ini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Marwan Abdul Salam, 31, Satra Alih Anama, 40, Abdul Latif Sabtula, 31, Asri Hamal, 24, Hamal Anilisto, 45, Jufilie, 31, dan Salam Anama, 30, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Kavita.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh melakukan kesalahan itu semalam pada jam 1.30 pagi di kawasan perumahan sekitar Sitiawan.
Tertuduh didapati menggunakan identiti dan dokumen pengenalan diri yang tidak sah untuk mendapatkan pekerjaan dan tinggal di Malaysia.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan kerana kesemua tertuduh tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Mohd Zamane Kamarolzaman.
Tertuduh, Asri dan Hamal diwakili peguam, S Dharma Nathan manakala Marwan, Satra, Abdul Latif, Jufilie dan Salam diwakili peguam Kulvinder Singh. – BERITA HARIAN