comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tragedi 3 maut runtuhan gudang, syarikat pembinaan didenda maksimum RM50,000

Foto hiasan

BALIK PULAU: Sebuah syarikat pembinaan dijatuhi hukuman denda maksimum RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Balik Pulau, hari ini, kerana gagal memastikan kewajipannya, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada tiga pekerjanya pada 28 November tahun lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memaklumkan bahawa syarikat berkenaan, Rexallent Construction Sdn Bhd yang diwakili peguam, Lim Sze Han, mengaku bersalah atas dakwaan itu di hadapan Hakim Tuan Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Menurut JKKP, kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat berkenaan mengaku bersalah kerana sebagai majikan yang gagal bagi memastikan kewajipannya, setakat yang dipraktiknya, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja ketika bekerja.

Syarikat terbabit juga gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja konkrit di atas rasuk (beam) dan ‘slab’ sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada tiga pekerjanya.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa kemalangan terbabit dilapor berlaku pada 28 November tahun lalu, menyebabkan tiga pekerja yang sedang bekerja di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung di sini, maut.

Ketiga-tiga mayat ditemukan di bawah runtuhan binaan gudang berkenaan.

JKKP berharap supaya kes berkenaan dapat menjadi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja supaya patuh kepada undang-undang, sentiasa ambil berat demi keselamatan pekerja dan kepentingan awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini