Tumpuan :
Mahkamah

Tipu PERKESO RM832,000, ahli perniagaan hadapi 17 pertuduhan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 17 pertuduhan menipu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berhubung kursus yang tidak wujud membabitkan sejumlah RM832,000, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, P Sathia Seelan, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-17, lelaki itu didakwa menipu PERKESO dengan memperdayakan dua pegawai pertubuhan itu untuk mempercayai dokumen yang mengandungi senarai nama kehadiran dan tandatangan peserta bagi tiga kursus yang tidak pernah dijalankan.

Dokumen atas nama sembilan syarikat bertarikh antara 7 Disember 2020 dan 12 Jun 2021, yang mana perbuatan itu mendorong PERKESO membayar RM832,000 kepada Syarikat Global Education Network Sdn Bhd milik tertuduh.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Menara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, PERKESO di Putrajaya antara 23 Disember 2020 dan 23 Januari 2021.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira kesalahan itu membabitkan wang lebih RM800,000.

“Selain itu, kami mohon syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Peguam R Babu Naidu yang mewakili Sathia Seelan memohon jaminan RM40,000 atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan terhadapnya.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan bersubahat dengan Sathia Seelan atas kesalahan sama.

Bapa tiga anak, R Nanthagopal, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Siti Amirah turut mencadangkan jaminan RM100,000 ke atas Nanthagopal berserta syarat tambahan sama dengan Sathia Seelan, manakala Babu Naidu memohon jaminan sama dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi serta jantung.

Suzana dan Rosli kemudian membenarkan tertuduh Sathia Seelan dan Nanthagopal masing-masing diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini