Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Tipu lebih RM100,000 ‘bantu’ kes Along Cham, ‘Ika’ mengaku tidak bersalah

Tertuduh, Nursyafiqah Hermansah, 28, didakwa menipu sehingga mendorong Afreena Suhaimi membayar wang berjumlah RM105,380.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

BANGI: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah menipu lebih RM100,000 untuk ‘membantu’ kes dadah melibatkan seorang selebriti.

Tertuduh, Nursyafiqah Hermansah, 28, didakwa menipu Afreena Suhaimi dengan memperdaya untuk menjamin keluar suaminya dan menurunkan seksyen pertuduhan ke atas suaminya, sehingga mendorong Afreena membayar wang berjumlah RM105,380.

Wang itu dibayar melalui 26 transaksi kepada lima akaun berbeza, antara 22 Disember tahun lalu, sehingga 14 Januari.

Kes dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac.

Sebelum ini tercetus kontroversi, Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya, Afreena menyeleweng wang sumbangan orang ramai berjumlah ratusan ribu ringgit yang sepatutnya digunakan untuk membantunya sepanjang ditahan di Penjara Sungai Buloh atas dakwaan memiliki ganja.

Bagaimanapun, Afreena kemudian membuat laporan polis mendakwa dirinya ditipu sebanyak RM95,180 oleh seorang individu dikenali sebagai ‘Ika’.

Susulan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, wanita itu dan suaminya, yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada jam 10 malam, 29 Januari lalu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, berdasarkan rekod, suspek mempunyai lima rekod kes penipuan di empat negeri, iaitu Sabah, Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini