comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tiga termasuk pasangan kekasih dituduh edar dadah lebih 8kg

Ong Li Ren berdepan tiga pertuduhan mengedar dadah. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk pasangan kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas enam pertuduhan mengedar dadah, pada 28 September lalu.

Tertuduh, Ong Li Ren, 30, Lim Wen Foong, 35 dan Ng Hui Xin, 27 mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, dan R.Salini, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan Li Ren dan Hui Xin menghadapi dua pertuduhan secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis serbuk MDMA seberat 2.688 kilogram dan ketamin seberat 164 gram di Taman Seri Setanggi, di sini pada 28 September lepas.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Manakala Wen Foong berdepan dengan tiga pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 4.258 kilogram, metamphetamine (5.00 gram) dan nimetazepam seberat (15.80 gram) di Taman Gaya, di sini pada, 28 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) Akta sama dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta sama.

Dalam mahkamah berlainan, Li Ren berdepan dengan satu lagi pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis serbuk MDMA dengan anggaran berat kasar 292.30 gram di tempat letak kenderaan, Jalan Sutera, Taman Sentosa,di sini, pada 28 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Nevina dan Nur Ameerah Allaudeen.

Mahkamah menetapkan 12 Januari depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini