Oleh Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia direman empat hari sehingga Rabu bagi membantu siasatan kes ‘pukau’ seorang suri rumah berusia 51 tahun di Pasar Besar Perlis, di sini, semalam.
Perintah tahanan reman dibenarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali bermula hari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 52 hingga 65 tahun yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan Tanjung Pinang, Indonesia.
Mereka ditahan polis semalam di Jalan Taman Intan, di sini, selepas dikejar orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, kejadian berlaku pada 10 pagi apabila mangsa didatangi dua dari suspek yang menawarkan pemeriksaan perubatan ketika berada di pasar berkenaan.
Mangsa yang terpedaya bertindak menyerahkan dua utas gelang emas, dua bentuk cincin dan sepasang subang bernilai RM19,000 selepas mengikut suspek ke kawasan berdekatan kononnya untuk membuat pemeriksaan.
Jelas ACP Yusharifuddin lagi, suspek bertindak menukar barang kemas tersebut dengan beberapa keping duit syiling dan pelapik skru yang dimasukkan ke dalam sampul sebelum menyerahkannya kembali kepada mangsa.
Dengan bantuan orang awam dan polis Arau, suspek diberkas dan barang kemas terbabit ditemui di simpan di dalam sampul surat coklat dalam papan pemuka kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka.