Oleh Amira Suraini Che Mohamad
ALOR SETAR: Tiga lelaki warga Thailand masing-masing didenda antara RM27,000 hingga RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah menyeludup keluar bahan api diesel bersubsidi dari negara ini, pada April lalu.
Tertuduh, Sakda Thaenkeson, 24, Kittisak Thongluean, 37, dan Phanuphong Yava, 23, yang dituduh secara berasingan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand.
Mengikut kertas pertuduhan, pada 11 pagi 11 April lalu, Sakda dituduh membawa keluar 61 liter diesel menggunakan kenderaan Toyota Hilux dan Kittisak pula dituduh cuba membawa keluar 72 liter diesel menggunakan kenderaan Isuzu Dmax pada 11.50 pagi, 13 April lalu.
Sementara itu, Phanuphong dituduh cuba membawa keluar 61 liter diesel menggunakan kenderaan Chevrolet Colorado, jam 11 pagi pada 11 April lalu.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pos Imigresen Bukit Kayu Hitam, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Kesalahan dilakukan mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum mengikut Perenggan 5(a) peraturan sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Hezrin Abdul Wahab dan Muhammad Saiful Saaidin.
Kittisak diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli, manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan denda RM27,000 kepada Sakda, manakala Kittisak dan Phanuphong masing-masing RM30,000 dan RM28,000.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara antara 7 hingga 8 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.